Tinnitus berlaku apabila anda
mendengar beberapa suara yang hanya boleh didengari oleh diri anda sahaja.
Berlainan pesakit akan mendengar berlainan suara seperti bunyi deringan, bunyi
“buzz” atau pelbagai lagi suara yang kompleks.
Tinnitus boleh menjadi suatu bunyi
yang berselang seli atau berterusan, dengan nada yang tunggal atau banyak dan
julat volumnya boleh menjadi lembut sehingga yang paling kuat.
PUNCA TINNITUS:
Sebarang gangguan telinga boleh
menyebabkan Tinnitus. Beberapa contoh yang biasa bagi tinitus adalah:
1. Kehilangan pendengaran atau pekak
yang disebabkan usia, kebiasaanya bermula sekitar berusia 60 tahun.
2. Kerosakan daripada pendedahan bunyi bising yang terlalu lama. Hakisan pada
pendengaran mungkin disebabkan pendedahan melampau bunyi bising pada tempoh
yang terlalu lama.
3. Jangkitan telinga atau sinus. Tinnitus ini akan berkurangan
dan akan hilang selepas jangkitan telinga ini pulih.
4. Tekanan darah tinggi dan punca tekanan darah tinggi seperti stress, alkohol
dan kefein boleh menjadikan bunyi mudah untuk dikesan.
5. Penggunaan ubatan tertentu terlalu lama. Penggunaan ubatan seperti aspirin
dalam dos yang banyak dan beberapa jenis antibiotik boleh memberi kesan kepada
sel-sel dan saraf telinga dalaman.
PUNCA YANG JARANG BERLAKU:
1. Satu tumor yang tidak berbahaya pada saraf pendengaran.
HILANG PENDENGARAN JENIS
KONDUKTIF:
Bunyi tidak dapat diproses melalui
telinga luar ke telinga tengah, bunyi masih boleh dihantar ke otak melalui
tulang mastoid dan bunyi tidak dapat bergerak dari telinga luar ke telinga
dalam secara efisien kerana tersumbat atau kerosakan pada laluan ini. Ini
menyebabkan bunyi menjadi perlahan dan tidak jelas.
Namun telinga dalam masih dapat
berfungsi dengan baik, memprosesnya dan menghantar bunyi ke saraf pendengaran
ke otak. Walaupun kemudiannya getaran yang diterima terus merangsang cecair
yang terdapat di dalam telinga dalam tanpa melalui telinga luar atau tengah.
Hilang pendengaran jenis konduktif
dikategorikan sebagai kehilangan pendengaran ringan dan sederhana kerana masih
boleh mendengar sebahagian bunyi-bunyi pertuturan dan suara sendiri serta orang
lain melalui tulang mastoid.
PUNCA:
Punca berlakunya masalah ini kerana
halangan di dalam saluran telinga luar seperti tahi telinga yang terlalu banyak
atau sekatan benda asing. Ia juga boleh terjadi akibat kemalangan iaitu
kerosakan gegendang telinga disebabkan oleh tekanan yang terlalu kuat seperti
bunyi letupan dan jolokan benda keras atau tajam ke gegendang telinga. Selain
itu, faktor jangkitan turut mempengaruhi pekak konduktif ini iaitu jangkitan
yang kronik berlaku terhadap lapisan kulit telinga luar atau telinga dalam
dikenali sebagai Otitis Externa dan Otitis Media. Otitis Externa disebabkan
oleh jangkitan bakteria yang dinamakan “swimmer’s ear” yang biasa berlaku
kepada perenang kerana kekerapan air terperangkap di dalam telinga.
Otitis Media pula disebabkan oleh
salur eustachia yang tersumbat akibat demam selsema, campak, tonsilitis dan
jangkitan dihidung dan tekak. Otosklerosis (ketumbuhan tetulang halus pada
stapes juga turut mempengaruhi pekak konduktif ini. Ketumbuhan tetulang halus
pada dinding telinga tengah berlaku awal remaja hingga awal 30 an. Ianya akibat
daripada tulang stapes yang melekat pada jendela bujur tidak dapat bergerak
kerana terdapat ketumbuhan tetulang di sekelilingnya
Kekuatan bunyi di setiap frekuensi
berkurangan tetapi kehilangan pendengaran tidak melebihi 60 dB disemua
frekuensi. Kebiasaannya ujian pendengaran menunjukkan terdapat perbezaan
kehilangan pendengaran di antara ujian melalui tulang dengan ujian melalui
udara.
HILANG PENDENGARAN JENIS
SENSORINEURAL:
Masalah ini disebabkan oleh
kerosakan telinga dalam atau laluan saraf pendengaran ke otak. Sesetengah bunyi
kedengaran kurang jelas menyebabkan herotan dan masalah memahami pertuturan.
Masalah pendengaran ini selalunya kekal.
Walaubagaimanapun, ia dapat dibantu
dengan alat bantu pendengaran. Ianya melibatkan koklea atau saraf yang menjadi
laluan ke otak. Kehilangan pendengaran jenis ini adalah teruk (severe) dan
sangat teruk (profound) kerana tidak boleh mendengar bunyi-bunyi pertuturan
langsung dan hanya mendengar bunyi-bunyi yang kuat sahaja seperti bunyi mercun.
Punca berlakunya masalah ini kerana:
Pertama, berlaku semasa di
dalam kandungan atas sebab jangkitan virus atau bakteria seperti rubella/german
measles kepada ibu yang mengandung pada 3 bulan pertama dalam kebanyakan kes.
Herpes simplex (penyakit kelamin), gonorrhea (perempuan) dan siplis/syphilis
(lelaki).
Pengambilan dadah yang mengandungi
seperti alkohol, aspirin, cortisone, quinine dan tranquillisiers serta
pengambilan ubat-ubatan seperti pil Thallidomide (mengelak alahan).
Kedua, semasa kelahiran seperti
kurang berat badan, anoxia (kekurangan oksigen) dan jaundice (demam kuning).
Ketiga, selepas lahir akibat
daripada kemalangan yang teruk menyebabkan kerosakan koklea, meningitis (demam
yang teruk disebabkan selaput yang meliputi otak dan tulang belakang) seperti
meningococol merosakkan koklea dan saraf pendengaran, bunyi bising yang sangat
teruk dan berterusan, pengambilan bahan Ototoxic atau bahan beracun seperti
dalam quinine dan antibiotik, kehilangan pendengaran disebabkan ketuaan dan
penyakit meniere kesan vertigo (pening yang teruk), tinnitus (berdesing).
Keempat, disebabkan keturunan
kerana jika ibubapa membawa gen dominan (pekak), risiko untuk mempunyai anak
yang pekak sensorineural adalah 50% manakala pembawa gen resesif adalah 25%.
Frekuensi bagi kehilangan pendengaran jenis sensorineural ialah 71 dB ke atas
iaitu teruk dan sangat teruk 91 dB ke atas. Manakala dalam ujian (tulang dan
udara) ia tidak menunjukkan banyak perbezaan kerana saraf pendengarannya tidak
berfungsi.
HILANG PENDENGARAN JENIS
CAMPURAN:
Masalah pendengaran campuran berlaku
apabila terdapat kehadiran kedua-dua masalah pendengaran serentak iaitu masalah
pendengaran konduktif dan sensorineural hadir bersama.
Contohnya, seseorang yang mempunyai
masalah pendengaran sensorineural juga mempunyai mampatan tahi telinga
dikategorikan sebagai mempunyai masalah pendengaran campuran. Apa jua masalah
yang berlaku di telinga luar atau tengah berserta masalah di telinga dalam
disebut sebagai masalah pendengaran campuran. Berlaku kehilangan pendengaran
dalam kedua-dua ujian (bone and air conduction).
No comments:
Post a Comment