Pada 2 September 1962, Kerajaan Singapura menerima keputusan undi terbanyak
dari rakyat yang menyetujui percantuman Singapura dengan Persekutuan Tanah
Melayu. Pungutan suara ini dibuat berikutan dengan cadangan Perdana
Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra untuk
mengadakan persefahaman antara Britain dan rakyat di Wilayah Singapura, Sabah,
Brunei dan Sarawak, pada Mei 1961.
Cadangan yang dikemukakan oleh Tunku
ini dikenali sebagai rancangan penubuhan Malaysia. Sehubungan dengan ini
beberapa persetujuan telah dicapai daripada perundingan-perundingan percantuman
yang diadakan, tetapi sebelum keputusan muktamad dibuat pendapat rakyat hendaklah
diperolehi. Keputusan pungutan suara yang diumumkan pada jam 11.15
di Dewan Badminton Singapura ini jelas membuktikan penerimaan rakyat Singapura
terhadap rancangan percantuman Singapura dan Tanah Melayu. Ia juga
bermakna Singapura memperolehi kemenangan cemerlang mengalahkan kaum komunis
dan penyokongnya yang menyeru rakyat memberi undi kosong kepada cadangan
tersebut.
Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Kuan Yew menyifatkan
keputusan ini sebagai ‘jelas dan muktamad’ daripada rakyat yang menghendaki
percantuman dalam Malaysia. Kaum komunis dan penyokongnya hendaklah
menerima kemahuan rakyat melalui undi yang bebas dan demokratik ini secara
terbuka walaupun kepada mereka ianya merupakan satu hakikat yang berat untuk
diterima. Encik Lee Kuan Yew juga menyatakan bahawa kerajaan telah
berusaha sedapatnya untuk menjamin kedudukan rakyat Singapura dan merasa
sukacita bahawa sebahagian besar rakyat Singapura menyokong usaha
tersebut. Dalam pungutan suara ini undi yang menyokong usul percantuman
kerajaan ialah 71% berbanding 23% undi kosong. Keputusan ini akan
dihantar kepada Jawatankuasa Bangsa-Bangsa Bersatu yang dianggotai oleh 17
negara.
Setelah berbagai usaha diadakan Malaysia yang dianggotai oleh
Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak diisytiharkan kewujudannya pada 16
September 1963. Malangnya, setelah melalui berbagai rintangan dalam
sebuah kerajaan dan pemerintahan, Singapura kemudiannya telah keluar dari
Persekutuan Malaysia di pertengahan tahun 1965 akibat tindak tanduk beberapa
orang pemimpin Singapura yang meletakkan perhubungan kedua negara dalam keadaan
tegang dan genting. Sessungguhnya pemberiaan hak rakyat untuk menentukan
kerajaan dan pemerintah yang mereka pilih akan menjadi tidak bermakna andaikata
sesetengah pemimpinnya bersikap tidak jujur di atas kepercayaan yang diberikan
oleh rakyat.
Sumber : ARKIB
NEGARA MALAYSIA
No comments:
Post a Comment